Thursday, October 31, 2013

Strategi Membayar Balik Hutang Kad Kredit

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini saya nak share artikel yang saya baca dalam Majalah IK Isu 04. Artikel ditulis oleh Irfan Khairi Usahawan Internet yang terkenal pada masa kini.

Kad kredit sememangnya "berhantu!" Tanpa disedari, tiba-tiba sahaja berbagai-bagai hutang kad kredit yang membelit diri, sekiranya kita tidak mengamalkan langkah berhati-hati di dalam perbelanjaan.

Membayar balik hutang kad kredit juga mempunyai strategi. Strategi yang salah, hanya akan melewatkan sahaja bayaran balik kad kredit kita. di samping menambahkan "interest" yang perlu dibayar.

Terdapat pelbagai cara untuk membayar balik hutang kad kredit.

1. Senaraikan kesemua hutang kad kredit anda. Tidak kira sama ada anda hanya mempunyai satu kad kredit atau sepuluh. Susun kesemuanya di atas meja dan senaraikan jumlah hutang yang ditanggung untuk setiap satu kad kredit. Langkah pertama ini adalah untuk melihat dengan jelas situasi kad kredit anda dan tidak lari dari realiti hutang kad kredit.

2. Senaraikan jumlah baki minima yang perlu dibayar untuk setiap kad kredit. Baki minimum ini adalah untuk memaklumkan anda jumlah bayaran minima yang perlu anda jelaskan setiap bulan, supaya tidak dikenakan denda atau bayaran tambahan. Jelaskan baki minima ini setiap bulan untuk menjimatkan wang anda.

3. Kira jumlah bayaran bulanan yang anda boleh jelaskan untuk kad kredit anda. Ini tidak termasuk jumlah minima yang anda perlu bayarkan. Mungkin setiap bulan, anda boleh sediakan peruntukan contohnya, RM200(lebih banyak, lebih bagus) untuk bayaran balik kad kredit anda. Keseluruhannya jumlah yang diperuntukkan ini bersama jumlah minima, salurkan pada baki kad kredit yang paling rendah sekali.

4. Dengan memberi fokus terhadap usaha dan wang anda untuk melangsaikan baki kad kredit yang paling rendah, ia dapat memberi semangat dan motivasi kepada diri sendiri apabila melihat keseluruhan kad kredit tersebut telah dilangsaikan!

5. Apabila hutang kad kredit yang pertama sudah dilangsaikan, TAHNIAH! Anda perlu rasa seronok dan gembira atas pencapaian tersebut. Langkah seterusnya adalah untuk anda peruntukan pula bayaran bulanan anda seperti contoh di atas, RM200.00 serta baki minima yang anda bayar pada kad kredit pertama itu tadi, kepada kad kredit kedua yang terendah. Dalam kata lain, RM200.00 (jumlah diperuntukkan bulanan) + baki minima kad kredit pertama (yang anda tidak perlu untuk jelaskan lagi) + baki minima kad kredit kedua. Anda akan dapat, melangsaikan hutang kad kredit kedua dengan lebih mudah dan cepat!

6. Ulang langkah tersebut sehingga jumlah hutang kad kredit kedua telah dilangsaikan.

7. Teruskan strategi bayaran balik ini untuk kad-kad seterusnya seperti kad kredit yang ketiga, RM200 (jumlah diperuntukkan untuk bulanan) + baki minima kad kredit pertama dan kedua (yang tidak perlu dijelaskan lagi) + baki minima kad kredit ketiga!

8. Ulang sehingga bayaran hutang kesemua kad kredit anda selesai!

Walau sekiranya keadaan kad kredit kita dilihat seperti mustahil untuk dijelaskan, tetapi dengan strategi, teknik dan juga disiplin yang tinggi, sudah pasti untuk melangsaikan hutang kad kredit adalah tidak mustahil. Tanamkan rasa gembira dans eronok dalam menyimpan dan melangsaikan hutang. Bukannya rasa gembira dan seronok membelanjakan wang. Dengan ini, pastinya kewangan kita akan menjadi lebih terjamin lagi!

Salam inspirasi kejayaan,

Irfan Khairi

No comments:

Post a Comment