Thursday, November 28, 2013

PERASAN TAK?



Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ni saya nak share post Facebook Prof Dr. Muhaya.. semoga bermanfaat kepada pengunjung blog saya semua.. :)
 
PERASAN TAK?...Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke StarHill, MegaMall dan seangkatan dengannya...

PERASAN TAK?...30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi begitu pendek untuk menonton drama2 di televisyen...
...
PERASAN TAK?...Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tetapi betapa cepatnya 2 jam ketika menonton wayang di panggung...

PERASAN TAK?...Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan doa ketika solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan...

PERASAN TAK?...Betapa seronoknya mendengar seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bola sepak, sampai pagi, tapi tahajjud tak buat..

PERASAN TAK?...Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk saja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah...

PERASAN TAK?...Orang berebut depan untuk menonton bola dan konsert, tapi berebut saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar....

Ada 3 Hal dlm hidup yg tidak boleh kembali :
1. Waktu
2. Kata-kata
3. Kesempatan

Ada 3 Hal yg dapat menghancurkan hidup seseorg :
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam ..

Ada 3 Hal yg tidak boleh hilang :
1. Harapan
2. Keikhlasan
3. Kejujuran

Ada 3 Hal yg paling berharga :
1. Kasih Sayang ..
2. Cinta
3. Kebaikan

Ada 3 Hal dlm hidup yg tidak pernah pasti :
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Ada 3 Hal yg membentuk watak seseorg :
1. Komitmen
2. Ketulusan
3. Kerja keras

Ada 3 Hal yg membuat kita sukses :
1. Tekad
2. Kemahuan
3. Fokus

Ada 3 Hal yg tidak pernah kita tahu :
1. Rezeki
2. Umur
3. Jodoh

TAPI, ada 3 Hal dalam hidup yg PASTI :
1. Tua
2. Sakit
3. Kematian

Wednesday, November 27, 2013

Beramal Dengan al-Quran Serta Doa

Bismillahirrahmanirrahim...

Kita perlu sentiasa berhati-hati sebelum menjamah makanan dibeli kerana kadangkala bukan saja ada benda asing, malah kita juga terdedah kepada perbuatan khianat orang lain, sama ada secara dirancang atau tidak.

Lebih menakutkan lagi apabila perbuatan khianat orang itu membabitkan bantuan jin dan iblis, iaitu sihir.

Sememangnya kita diminta berbaik sangka terhadap sesama manusia, namun ia bukan alasan untuk tidak berwaspada.

Berwaspada terhadap sebarang mudarat akan mengelak perkara yang akan memberi masalah kepada kita. Jika terkena, bahananya kita saja yang menanggung.

Tidak rugi kita mula beramal dengan al-Quran serta doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika hendak memulakan makan.


1. Membaca Bismillah

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang di antara kamu hendak makan, sebutlah nama Allah SWT. Dan jika ia lupa menyebut nama-Nya pada awalnya, bacalah ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu’ (Dengan menyebut nama Allah SWT pada awalnya dan pada akhirnya).” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa satu ketika Rasulullah SAW tersenyum ketika menjelaskan bahawa jika seorang Muslim tidak membaca Bismillah sebelum makan, syaitan akan ikut makan dengannya.

Namun, ketika Muslim itu teringat dan menyebut nama Allah SWT, syaitan langsung memuntahkan makanan yang dimakannya.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT meredai seorang hamba yang ketika makan satu makanan lalu dia mengucapkan Alhamdulillah. Dan apabila dia minum satu minuman, dia pun mengucapkan Alhamdulillah.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)


2. Membaca ayat ‘penggerak’

Amalan ini saya dapati daripada Profesor Datuk Dr Haron Din dalam kuliahnya. Haron Din sememangnya terkenal sebagai pengamal perubatan Islam yang berpengalaman dalam mengendalikan penyakit yang sukar diubati dengan kaedah perubatan moden.

Ayat penggerak dimaksudkan adalah daripada sebuah Hadis Rasulullah SAW, yang berbunyi: “Bismillahillazi la yadhurru ma’as mihi, syai’un fil ardhi, walaa fissama’i, wa huwassami’ul ‘alim.”

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berdoa di setiap pagi dan petang, dengan nama Allah yang tidak memberikan mudarat, setiap di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Baca tiga kali, tidak akan ada yang memudaratkannya. (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Mengapa ayat ini dipanggil ayat penggerak? Haron menjelaskan, ayat ini boleh menggerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak sesuatu kerja yang didalamnya terkandung sesuatu yang berbahaya.

Contohnya, ketika membaca ayat ini ia tidak lancar dan tersekat-sekat seperti tiba-tiba lupa atau gangguan anak, bunyi telefon berdering atau sebagainya, ia petanda untuk jangan meneruskan dengan apa yang hendak kita lakukan waktu itu.

Jika dalam perjalanan, berhentilah sementara waktu, jika hendak memulakan makan, eloklah cari makanan di tempat lain.

Seorang pengamal perubatan di Darussyifa pernah menceritakan pengalaman dilaluinya ketika berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan.

Gerai itu terletak di tepi jalan raya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua.

Dalam peristiwa lain, sahabat pengamal perubatan itu menceritakan, dia pernah minum di sebuah restoran di mana gelas di tangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya.

Kedua-dua kejadian berlaku kerana makanan dan minuman itu mengandungi santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Insya-Allah, selagi mana kita mengingat Allah dan berdamping dengan-Nya pada setiap waktu, Allah akan memelihara kita.

Namun harus diingat, amalan dinyatakan di atas hanya dapat mengelak musibah melalui ketentuan Allah yang boleh diubah.

Sebaliknya, jika ia ketentuan Allah yang tidak dapat diubah seperti ajal dan maut, ia tetap akan terjadi. Wallahualam.

Artikel ini saya ambil hasil tulisan Imam Muda MOHD HASSAN ADLI YAHAYA dalam ruangan Kalam Imam Muda keluaran Metro Ahad pada 03/11/2013 bersamaan 29 Zulhijjah 1434H

Tuesday, November 26, 2013

TAN SRI SYED MOKHTAR USAHAWAN MELAYU TERSOHOR BAHAGIAN II



Bismillahirrahmanirrahim..

Maaf terlewat untuk share post seterusnya berkaitan pemikiran Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.. Fikiran lebih banyak terfikir kepada kematian Ahmad Ammar.. :( Walaupun saya tak kenal, tapi saya sangat terkesan membaca perjalanan hidup beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Ok, saya post kali ini saya sambung 10 lagi perkara yang terdapat dalam pemikiran Tan Sri..

11. Dalam hidup ini, kita sebenarnya tidak ada status, ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberi kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah memberi rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun bawah, mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah bantu. Orang CIna ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada. Kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Islam agama yang adil. Ia minta sedikit sahaja. Oleh itu, kalau ada duit lebih, seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tidak kisah kalau tidak buat semua ini. Saya boleh tidak buat apa-apa dan balik Alor Star tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati  nanti, mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata, kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda. Saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi bangsa lain tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehla kita menolong orang lain.

19. Kaya itu bukan kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai.Saya hanya memegangnya sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri saya. Duit tidak kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tetapi apa yang saya lakukan sekarang.

Ada 29 lagi yang akan saya share.. nak tau? tungguuuuuuuuu... :) 

Monday, November 25, 2013

SEJARAH HIDUP ALLAHYARHAM AHMAD AMMAR AHMAD AZAM

 Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ni saya terpanggil untuk berkongsi rasa mengenai permergian Ahmad Ammar. Saya tahu cerita ni melalui kawan saya yang mana ceritanya tersebar di Facebook dan YouTube memuatkan video Allahyarham yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Istanbul, Turki pada 2 November lalu..

Ahmad Ammar bin Ahmad Azam Ab Rahman, yang merupakan anak kepada Tuan Hj Ahmad Azam Ab Rahman, mantan Presiden ABIM dan Timbalan Presiden WADAH. Ammar merupakan seorang ahli dan pimpinan ABIM yang aktif. Beliau meninggal di Istanbul, yang kini berada di sana kerana mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Anak lelaki tunggal Tuan Hj Ahmad Azam ini telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Istanbul. Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham dan dikurniakan ketabahan dan keredhaan kepada Tuan Ahmad Azam sekeluarga. Allahyarham adalah bintang yang berpotensi untuk bersinar pada masa akan datang.



Ammar merupakan pelajar terbaik SPM 2010, Maktab Tentera Diraja (MTD-RMC) dan sedang melanjutkan pengajiannya di Turki dalam bidang Sejarah. Anak yang dipersiapkan oleh kedua ibu bapanya untuk menjadi mujahid dakwah telah dipanggil oleh Penciptanya pada 2hb November 2013.
Hanya kepada ALLAH kita berserah segalanya dan mudah-mudahan ALLAH merahmati dan memberi ganjaran yang setimpal kepada kedua ibu bapanya yang ‘menyerahkan’ kembali anakanda mereka dengan penuh redha. Amin.

Ahmad Ammar adalah seorang anak muda yang baik. Jarang dapat ditemui anak muda sepertinya. Tekun dan berdisiplin, taat dan bercita-cita tinggi. Tidak banyak bersuara di depan ramai. Pandai menempatkan diri di tengah khalayak. Dan paling menyentuh perasaan ialah bila mengingatkan perilakunya yang penuh sopan dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Semoga Allahyarham menjadi penuntun ibu bapanya ke syurga.

Allahyarham Ahmad Ammar, bersemadilah engkau di sana. ALLAH menyayangimu. Sungguh, hidupmu bersama perjuangan, matimu pula ketika dalam perjuangan, ditakdirkan ALLAH, jasadmu juga bersama para pejuang-pejuang agama ALLAH yang mati mereka juga di dalam perjuangan.

Hidup dikelilingi orang-orang soleh, mati pula bersemadi jasadnya dikelilingi jasad orang-orang soleh. Takdir ALLAH buat hamba-NYA yang terpilih. Hanya ALLAH yang lebih mengetahui akan hikmah sesuatu peristiwa.

Di Istanbul, Eyub merupakan tempat letaknya Maqam Abu Ayyub al-Ansori, sahabat Nabi yang mulia. Merupakan sebahagian daripada pahlawan Islam daripada angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.

Buat anak-anak muda di luar sana, sempena tahun baru hijrah ini, jika tidak dapat berazam jadi orang soleh, sekurang-kurangnya. berazamlah untuk dekat dengan orang-orang soleh. Insya ALLAH, akhir hayat kita akan diiringi oleh orang-orang soleh, didoakan ruh kita oleh orang-orang soleh. Insya ALLAH, semoga kita juga akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.

Di bumi yang asing, pemergiannya dihadiri ramai. Beliau telah dikebumikan di sekitar maqam sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al-Ansari. Selamat bertemu Maha Pencipta saudaraku Allahyarham Ahmad Ammar.Jenazah Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam disolat dan dikebumikan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul Di sana juga terdapat maqam sahabat Rasulullah S.A.W yakni Abu Ayub Al-Ansari R.A.
Awal Muharram di Turki, Ammar disemadikan di Eyub Sultan disaksikan ramai pelajar Risalah an Nur di ketuai Hoca Said Nuri, pemimpin utama Hayrat Vakfi. Hoça Said Nuri, pemimpin spiritual gerakan Heyrat Vakfi turun untuk bersama Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman dan isteri, Puan Hajjah Nur Azlina berserta anak-anak muridnya dalam majlis pengebumian Allahyarham Ahmad Ammar.

Perkuburan Eyub Sultan tempat Ammar disemadikan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 orang para sahabat Nabi SAW, awliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama. Takdir ALLAH, Dato Bandar Eyub beri pengecualian rakyat Malaysia pertama ini. Subhanallah. Peristiwa bersejarah ini pasti mempunyai signifikan sejarah buat hubungan dua hala bangsa Melayu-Turki dan Islam untuk menjadi lebih sakti. Tidak lupa juga jasa hubungan dua hala ABIM dan Hayrat İnsani Yardım.
Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan.

KERAJAAN TURKI BERI PENGHORMATAN TERTINGGI KEPADA ALLAHYARHAM AHMAD AMMAR
Kerajaan Turki memberi layanan luar biasa ke atas seorang remaja Malaysia yang meninggal dunia setelah dilanggar sebuah ambulans di negara itu apabila dia dikebumikan di Eyub Sultan di Istanbul yang turut menempatkan 60 pusara sahabat Nabi.
Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, yang meninggal dunia pada 2 November lalu dikebumikan di tanah perkuburan itu yang turut menempatkan orang kenamaan Turki pada 4 November setelah mendapat keizinan Datuk Bandar Istanbul.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja di Sungai Besi itu merupakan penuntut tahun dua jurusan Sejarah di Universiti Marmara (Goztepe).
Dia juga sedang mendalami ilmu Tafsir dan hampir tamat pengajian.

Abang ipar Allahyarham, Muhammad Suhail Ahmad berkata, masyarakat Turki amat memandang tinggi terhadap Ahmad Ammar yang hampir menamatkan pengajian ilmu Tafsir sekali gus melayakkannya menjadi guru agama.
“Bapa Allahyarham pula sentiasa memberi galakan kepadanya supaya sentiasa mendalami ilmu agama selain mempelajari ilmu sejarah di negara Turki itu,” katanya
Kisah Ahmad Ammar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Istanbul, Turki pada 2 November lalu mendapat liputan meluas menerusi rangkaian laman sosial di negara ini terutama YouTube dan Facebook.


Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa ‘Afihi Wa’fu ‘anhu.
Al-Fatihah untuk Allahyarham.

Sunday, November 24, 2013

TAN SRI SYED MOKHTAR USAHAWAN MELAYU TERSOHOR BAHAGIAN I



Bismillahirrahmanirrahim..
 
Post kali ini saya nak berkongsi pemikiran Usahawan Melayu Tersohor, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary yang saya baca dalam Majalah Jutawan pada keluaran bil 2 September 2009 dan bil 3 tahun 2009.
Kecemerlangan itu sewajarnya dijadikan contoh dan teladan khususnya generasi muda Melayu dalam mengharungi cabaran masa depan. Oleh itu, ikuti pemikiran beliau melalui 'petikan kata-kata' beliau yang boleh dijadikan azimat untuk kita renung bersama. Semoga ianya boleh dijadikan panduan berguna kita semua.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan adalah antara sebabnya. Saya mahu meninggalakan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. Bangsa lain tidak mengapa tetapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa rahsia. Saya hamba Allah, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh jadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun tetapi ia memakan masa. TIADA JALAN SINGKAT.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat, saya minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tetapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sisten sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terbabit dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaa sejak kecil dan saya jugak biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, Ke Tokyo, New York dan London. Saya suka pakai baju elok tetapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

Ok.. cukup sampai sini dulu.. nanti esok saya sambung yang seterusnya..

Saturday, November 16, 2013

KENAPA ISTERI SUKA DIPELUK

Bismillahirrahmanirrahim..
KENAPA ISTERI SUKA DIPELUK SUAMINYA... dan BAGAIMANA PULAK PELUKAN SUAMI ITU BOLEH BUAT ISTERI KURUS?

✔ Kebanyakan suami tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.

✔ Bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal, dan ada kalanya merimaskan.

✔ Sedangkan bagi isteri, pelukan menyimpan erti lebih mendalam dan memberi manfaat besar bagi kesihatan jiwa.

✔ Pernah seorang kenalan wanita mengadu kepada saya, semangatnya lemah kerana suami tiada di rumah dan jarang memeluknya.

✔ Bila suami memeluknya, baru terasa semangat dan tubuh menjadi lebih bertenaga.

✔ Walaupun ia mungkin benar dari sudut psychology, tetapi dari segi physiologinya juga mengatakan ‘pelukan mesra suami mampu mengeluarkan hormone oxytocin’ dalam tubuh isteri dan memberikan kesan tersebut.

Oleh itu para suami.....

1. peluklah isteri
2. belai lembut rambutnya
3. sentuh wajahnya
4. gosok lembut lengannya
5. kaitkan jari-jemari tangan anda dengan jari-jemarinya
6. gosok lembut punggungnya
7. sentiasa menjaga pandangan mata anda dengan matanya.

Pelukan membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim.

Bagaimana pulak pelukan suami tu boleh buat isteri kurus?

Camna tu tak tahu la pulak tapi menurut kata Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, pelukan dan sentuhan suami kepada isterinya ada pelbagai kebaikan kepada si isteri juga kepada si suami antaranya:

Pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap.

Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun. Ini kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.

Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan.

Selain itu pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w.

Hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik. Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri.

Jadi apa kata start hari ni , kita pakat-pakat minta suami peluk sekejap. Tak pun kita je la pi terkam peluk suami tapi kena tengok timing la jugak kan, kalau tak nanti ada dikatanya kita ni buang tabiat pulak.

Paling tidak pun lepas kita salam dan suami kiss sebelum keluar rumah pi kerje tu, minta dia peluk sekejap, InsyaAllah lama-lama bila diamalkan ada perubahan sikit dalam hubungan rumah tangga.

Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangannya.
Dr. Amirul Amin
Sumber daripada post Irma Hasmie di FB
 

Thursday, November 14, 2013

Tip Melancong: Rancang Percutian Lebih Awal

Bismillahirrahmanirrahim..

Musim cuti sekolah sudah tiba lagi. Anda tidak ke mana-mana?

Mungkin ada yang mahu membawa anak pulang ­ke kampung halaman berjumpa nenek dan datuknya. Mungkin ada yang hanya memerap di rumah.

Mungkin juga ada yang memenuhkan cuti sekolah ini dengan menghantar anak mereka menjalani kursus motivasi atau perkhemahan.

Mungkin ada tidak mempunyai perancangan langsung, manakala sebahagian yang lain barangkali mencongak mahu membawa anak bercuti.

Walau apa pun pilihan anda, terpulang kepada cita rasa dan bajet masing-masing. 

Tidak bermakna cuti panjang anak anda di persiakan begitu saja seandai­nya diisikan dengan banyak aktiviti lain yang berfaedah walaupun anda berada di rumah.

Namun, kepada yang ingin membawa anak melancong, sama ada dalam atau luar negara, ada beberapa tip yang boleh dikongsi bersama.

Pertama, rancang percutian anda terlebih dulu. Sebaiknya sebelum pergi bercuti, rancang dulu percutian, walau pun kita hanya mempunyai masa seminggu untuk merancangnya. Ke mana kita mahu bercuti? Cuti bagaimana yang kita mahu? Apa konsepnya, untuk riadah atau berbentuk ringkas.

Kedua, sediakan bajet. Jika kita melancong menggunakan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya 90 peratus daripada perbelanjaan melancong kita sudah dibayar terlebih dulu.

Jika kita melancong secara ala carte, sediakan perangkaan dan jangkaan jumlah wang yang kita perlukan bagi menampung semua kos penginapan, perjalanan, makanan, kos lawatan dan membeli-belah.

Ketiga, fahamkan anak terhadap nilai wang. Ini juga amat perlu untuk kita tekankan terutama kepada anak yang sedang membesar.

Terangkan kepada mereka kita bercuti di dalam bajet terhad. Pemberitahuan awal, mereka dapat memahami dan tidak meminta dibelikan sesuatu di luar dugaan kita sewaktu bercuti.

Ini juga dapat mengelakkan rasa hampa daripada bertapak di dalam pemikiran anak kita itu. Kita tentunya tidak mahu anak kita bermasam muka, meskipun baru balik dari bercuti di luar negara.

Keempat, rancang aktiviti membeli-belah. Kawal perasaan. Sediakan senarai pendek apa yang mahu kita cari setibanya di destinasi.

Kelima, rancang pembelian cenderahati. Yang ini juga perlu kita titik beratkan sama. Bagi sahabat, rasanya sekadar ingatan kita sudah mencukupi.

Jadi, harga barangan yang kita beli sebagai cenderamata tidaklah penting kepada mereka. Oleh itu, beli yang berharga ideal.

Keenam, gunakan kad kredit dengan bijaksana. Ini adalah satu kelemahan kita yang cukup ketara. Oleh kerana kita tidak perlu mengeluarkan wang tunai ketika berbelanja, kita mungkin akan terjebak kepada sindrom berduka selepas bersuka.

Ketujuh, pastikan anda ada lebihan tunai sekembalinya dari bercuti. Elakkan senario pulang dari bercuti, kantung kosong.

Kelapan, gunakan khidmat agensi pelancongan. Ini adalah satu pilihan terbaik untuk kita menjimatkan belanja. Meskipun melancong dengan menggunakan khidmat agensi pelancongan ini kita tertakluk kepada jadual yang tersedia, tetapi ini adalah lebih baik daripada melancong secara ala carte untuk mengunjungi tempat yang tidak pernah kita sampai sebelum ini.

Kesembilan, buat bedah siasat untuk percutian anda. Perkara ini juga adalah penting sebenarnya. Sekiranya untuk percutian kali ini anda tidak sempat untuk merancang seperti di atas, anda boleh saja menggunakannya di percutian anda yang akan datang. Selamat bercuti.

Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 14/11/2013 bersamaan 10 Muharam 1435H

Wednesday, November 13, 2013

Buat Kajian Sebelum Bercuti

Bismillahirrahmanirrahim..

Tip melancong pada post kali ini saya nak share adalah melalui penulisan Suliati Asri Terdapat 10 perkara perlu diberi perhatian sebelum melancong ke destinasi diingin.

Pertengahan bulan ini, cuti sekolah bermula dan ramai yang sudah merancang untuk melawat tempat menarik di dalam dan luar negara.
Melakukan kajian kecil sebelum bercuti adalah perkara penting yang sering dilupakan. Dengan melakukan kajian atau mencari infomasi, kita dapat mengetahui banyak hal yang perlu dipersiapkan sebelum ke destinasi pilihan.

Namun, ramai yang sering keliru mengenai apa juga perkara perlu diketahui sebelum pergi bercuti.
Justeru, 10 perkara penting yang wajib diketahui sebelum pergi bercuti mungkin dapat membantu sekali gus menjadikan percutian bersama keluarga, rakan, pasangan atau sendirian meninggalkan kenangan terindah.

1. Pelajari sebanyak mungkin berkaitan tempat yang akan dikunjungi terutama tarikan pelancongan dan tempat menarik yang ada di sana.

Ini bagi membolehkan anda menyusun perjalanan untuk ke tempat diingini.

2. Pastikan bagaimana keadaan cuaca di tempat akan dikunjungi. Ini memudahkan anda merancang sesuatu yang bersesuaian dengan cuaca terutama berkaitan pakaian dan ubat-ubatan perlu disediakan.

3. Selain cuaca, ada baiknya anda mengambil tahu mengenai keadaan politik terkini tempat dituju. Jangan sampai anda terperangkap apabila ada rusuhan berlaku.

4. Pastikan tarikh luput pasport anda masih panjang dan bukannya tinggal enam bulan. Beberapa negara termasuk Malaysia tidak mengizinkan rakyatnya keluar atau memasuki mana-mana negara jika tempoh pasport hanya tinggal enam bulan.
Justeru, sebelum merancang untuk bercuti, lihat dulu tarikh luput pasport.

5. Selain pasport, ada juga perlu mengetahui sama ada negara yang akan dikunjungi itu memerlukan visa atau tidak.

6. Pastikan apa juga dokumen yang diperlukan sepanjang percutian sudah tersedia dan lengkap.

7. Ini sesuatu yang penting iaitu mengetahui jenis plak yang digunakan di negara dikunjungi. Ini kerana, sesetengah negara tidak menggunakan plak yang sama. Justeru, mencari maklumat mengenainya, anda boleh membawa plak penyambung antarabangsa bagi memudahkan percutian anda.

8. Jika anda merancang untuk melakukan percutian seorang diri, carilah maklumat mengenai kos pengangkutan awam di kawasan sekitar. Dengan begitu, anda dapat merangka perbelanjaan dengan baik. jangan lupa juga untuk mengetahui kos sewa van atau teksi secara pajak.

9. Sentiasa peka dengan nilai mata wang negara yang akan dikunjungi. Ia penting untuk merancang segala perbelanjaan diperlukan ketika bercuti nanti.

10. Ada baiknya anda tahu hari cuti nasional sepanjang percutian selama percutian anda. Ini kerana, pada kebiasaannya urus niaga seperti di bank atau mana-mana jabatan ditutup pada hari terbabit.

Dengan itu, anda boleh bersedia dengan semua perkara sebelum ke tempat itu dan bercuti dengan aman serta selesa.

Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 07.11.2013 bersamaan 3 Muharam 1435H


Tuesday, November 12, 2013

Elak Ditipu Ketika Melancong

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini, tip melancong menyenaraikan beberapa panduan bagi menghindari penipuan ketika bercuti.

Tidak kira menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan atau merancang sendiri perjalanan, penipuan kerap menghantui percutian kebanyakan orang.

Jika tidak berwaspada, percutian yang sepatut­nya menyeronokkan boleh bertukar menjadi mimpi buruk.
Pengalaman keba­nyakan pelancong yang tertipu terutama meng­gunakan tempahan secara talian bagaikan menghantui semua orang.

Justeru, bagi menghindari penipuan oleh mereka yang tidak bertanggung­jawab, berhati-hati ketika merencana percutian anda.

Periksa agensi pelancongan yang anda gunakan.
Sebaiknya, gunakan agensi pelancongan yang memiliki reputasi baik. Anda mungkin boleh mencuba agensi pelancongan berdasarkan saranan rakan atau ahli keluarga yang pernah meng­gunakan khidmat agensi pelancongan itu. Teliti pakej percutian yang ditawarkan termasuk penginapan dan pengang­kutan. Tanya secara terperinci harga pakej yang ditawarkan termasuk bayaran tambahan yang mungkin dikenakan ketika bercuti dan tidak dimasukkan dalam harga pakej. Beberapa agensi pelancongan menawarkan pakej percutian yang terlalu murah. Namun anda wajib mengikuti segala program yang ditentukan termasuk berkunjung ke pelbagai kedai jualan. Anda mungkin tidak suka dengan program itu, tetapi agensi pelancongan yang anda ikuti itu pula memperoleh komisen dari pada setiap pembelian. Bagi yang gemar berbelanja, program ini cukup menyeronokkan, tetapi bagi yang kurang gemar, ia pasti sesuatu yang cukup mengecewakan.
Oleh itu, periksa juga setiap program yang disenaraikan agensi pelancongan yang diikuti supaya anda tidak tertipu dan kecewa sepanjang percutian anda.

Periksa tiket yang anda tempah.
Beli tiket pengangkutan awam seperti pesawat, kereta dan bas melalui ejen atau penjual yang rasmi. Elak pembelian daripada ulat yang harga ditawarkan lebih mahal serta mungkin tiket yang di jual itu palsu. Periksa tarikh dan destinasi tiket yang anda beli untuk melihat kebenaran dan kesesuaiannya dengan apa yang anda inginkan.

Gunakan insurans perjalanan.
Perjalanan ke luar negara untuk beberapa negara seperti Eropah, memerlukan pelancong memiliki insurans perjalanan sebagai syarat permohonan visa. Hal ini sangat membantu terutama ketika mengalami kemalangan ataupun sakit dalam perjalanan. Selain itu, insurans perjalanan juga membantu anda jika terjadi kehilangan atau kejadian pesawat tertunda. Tetapi, apa yang perlu anda lakukan adalah memilih insurans perjalanan yang boleh dipercayai dan disarankan kenalan anda. Selain itu, ketahui apa saja yang ditanggung oleh insurans anda.

Membayar dengan wang tunai.
Sebaiknya, bawa saja wang tunai secukupnya supaya anda dapat mengelak kemungkinan mengeluarkan perbelanjaan melebihi seperti yang dirancang. Ini kerana ada kalanya perbelanjaan bagaikan tidak terkawal saat menggunakan kad kredit walaupun ia lebih praktikal dan sentiasa ada promosi yang sangat menggiurkan. Secara tidak langsung, anda mungkin akan dibelenggu hutang yang banyak dengan penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Menukar wang.
Jika ke luar negara, sebaiknya anda membawa wang dalam bentuk dolar Amerika Syarikat. Kemudian tukar ke mata wang setempat di kaunter pe­ngurup wang apabila tiba di destinasi. Anda juga boleh memilih bank atau tempat yang bertanda sebagai tempat penukaran rasmi. Elak menukar wang di lapangan terbang atau kaunter pengurup wang yang padat dengan pelancong kerana mereka boleh mengenakan harga yang murah.

Pilih hotel dengan reputasi tinggi.
Jangan cepat percaya dengan gambar yang digunakan sesetengah hotel terutama yang menawarkan harga murah. Gunakan saranan daripada kenalan yang mengetahui daerah yang dituju dan reputasi hotel yang ingin anda tinggal. Cara lain adalah dengan membandingkannya de­ngan hotel lain di beberapa kawasan pelancongan. Selain itu, jika mahu menggunakan orang ketiga memesan bilik penginapan, gunakan khidmat agensi pelancongan yang boleh dipercayai. Jika tempahan dilakukan menggunakan kad kredit, pastikan harga diskaun sesuai de­ngan yang apa yang dicaj kepada kad kredit anda.

Jangan mudah percaya dengan orang asing.
Berkenalan dengan orang yang baru anda kenali ketika perjalanan sesuatu yang menarik. Namun berwaspada walaupun mungkin anda sekadar berkenalan untuk bertanyakan arah. Jangan terlalu bergantung kepada orang yang baru anda kenal. Berhati-hati, jangan sampai membawa ke tempat yang mencurigakan atau tempat sunyi. Jaga barang yang anda bawa sepanjang perjalanan.

Sewa kereta atau teksi.
Ketahui takrif pe­nyewaan kereta di destinasi yang dituju. Ada sesetengah penyewa kereta yang ingin meraih keuntungan dengan memberikan harga sewa yang lebih tinggi terutama jika anda tidak mengetahui takrif kebanyakan kereta sewa. Begitu juga dengan tek­si yang anda naiki. Gunakan teksi dengan meter dan naik teksi yang memiliki reputasi baik di daerah yang dituju. Anda boleh bertanya pihak hotel mengenai tek­si yang boleh dipercayai di daerah atau negara yang dilawati.

Teliti harga diskaun yang ditawarkan.
Sesiapa saja pasti­nya tergoda dengan potongan harga yang ditawarkan di kedai yang menjalankan jualan murah. Ketika itu, anda bagaikan tidak terkawal saat berbelanja. Namun supaya anda tidak tertipu, teliti produk yang dijual itu berkualiti dengan harga yang ditawarkan. Ada baiknya periksa dulu potongan harga yang diberikan dan anda juga perlu tahu harga normal barang itu.  

Artikel ini disiarkan pada : 03.10.2013 bersamaan 27 Zulkaedah 1434