Wednesday, November 27, 2013

Beramal Dengan al-Quran Serta Doa

Bismillahirrahmanirrahim...

Kita perlu sentiasa berhati-hati sebelum menjamah makanan dibeli kerana kadangkala bukan saja ada benda asing, malah kita juga terdedah kepada perbuatan khianat orang lain, sama ada secara dirancang atau tidak.

Lebih menakutkan lagi apabila perbuatan khianat orang itu membabitkan bantuan jin dan iblis, iaitu sihir.

Sememangnya kita diminta berbaik sangka terhadap sesama manusia, namun ia bukan alasan untuk tidak berwaspada.

Berwaspada terhadap sebarang mudarat akan mengelak perkara yang akan memberi masalah kepada kita. Jika terkena, bahananya kita saja yang menanggung.

Tidak rugi kita mula beramal dengan al-Quran serta doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika hendak memulakan makan.


1. Membaca Bismillah

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang di antara kamu hendak makan, sebutlah nama Allah SWT. Dan jika ia lupa menyebut nama-Nya pada awalnya, bacalah ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu’ (Dengan menyebut nama Allah SWT pada awalnya dan pada akhirnya).” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa satu ketika Rasulullah SAW tersenyum ketika menjelaskan bahawa jika seorang Muslim tidak membaca Bismillah sebelum makan, syaitan akan ikut makan dengannya.

Namun, ketika Muslim itu teringat dan menyebut nama Allah SWT, syaitan langsung memuntahkan makanan yang dimakannya.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT meredai seorang hamba yang ketika makan satu makanan lalu dia mengucapkan Alhamdulillah. Dan apabila dia minum satu minuman, dia pun mengucapkan Alhamdulillah.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)


2. Membaca ayat ‘penggerak’

Amalan ini saya dapati daripada Profesor Datuk Dr Haron Din dalam kuliahnya. Haron Din sememangnya terkenal sebagai pengamal perubatan Islam yang berpengalaman dalam mengendalikan penyakit yang sukar diubati dengan kaedah perubatan moden.

Ayat penggerak dimaksudkan adalah daripada sebuah Hadis Rasulullah SAW, yang berbunyi: “Bismillahillazi la yadhurru ma’as mihi, syai’un fil ardhi, walaa fissama’i, wa huwassami’ul ‘alim.”

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berdoa di setiap pagi dan petang, dengan nama Allah yang tidak memberikan mudarat, setiap di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Baca tiga kali, tidak akan ada yang memudaratkannya. (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Mengapa ayat ini dipanggil ayat penggerak? Haron menjelaskan, ayat ini boleh menggerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak sesuatu kerja yang didalamnya terkandung sesuatu yang berbahaya.

Contohnya, ketika membaca ayat ini ia tidak lancar dan tersekat-sekat seperti tiba-tiba lupa atau gangguan anak, bunyi telefon berdering atau sebagainya, ia petanda untuk jangan meneruskan dengan apa yang hendak kita lakukan waktu itu.

Jika dalam perjalanan, berhentilah sementara waktu, jika hendak memulakan makan, eloklah cari makanan di tempat lain.

Seorang pengamal perubatan di Darussyifa pernah menceritakan pengalaman dilaluinya ketika berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan.

Gerai itu terletak di tepi jalan raya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua.

Dalam peristiwa lain, sahabat pengamal perubatan itu menceritakan, dia pernah minum di sebuah restoran di mana gelas di tangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya.

Kedua-dua kejadian berlaku kerana makanan dan minuman itu mengandungi santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Insya-Allah, selagi mana kita mengingat Allah dan berdamping dengan-Nya pada setiap waktu, Allah akan memelihara kita.

Namun harus diingat, amalan dinyatakan di atas hanya dapat mengelak musibah melalui ketentuan Allah yang boleh diubah.

Sebaliknya, jika ia ketentuan Allah yang tidak dapat diubah seperti ajal dan maut, ia tetap akan terjadi. Wallahualam.

Artikel ini saya ambil hasil tulisan Imam Muda MOHD HASSAN ADLI YAHAYA dalam ruangan Kalam Imam Muda keluaran Metro Ahad pada 03/11/2013 bersamaan 29 Zulhijjah 1434H

No comments:

Post a Comment