Wednesday, November 13, 2013

Buat Kajian Sebelum Bercuti

Bismillahirrahmanirrahim..

Tip melancong pada post kali ini saya nak share adalah melalui penulisan Suliati Asri Terdapat 10 perkara perlu diberi perhatian sebelum melancong ke destinasi diingin.

Pertengahan bulan ini, cuti sekolah bermula dan ramai yang sudah merancang untuk melawat tempat menarik di dalam dan luar negara.
Melakukan kajian kecil sebelum bercuti adalah perkara penting yang sering dilupakan. Dengan melakukan kajian atau mencari infomasi, kita dapat mengetahui banyak hal yang perlu dipersiapkan sebelum ke destinasi pilihan.

Namun, ramai yang sering keliru mengenai apa juga perkara perlu diketahui sebelum pergi bercuti.
Justeru, 10 perkara penting yang wajib diketahui sebelum pergi bercuti mungkin dapat membantu sekali gus menjadikan percutian bersama keluarga, rakan, pasangan atau sendirian meninggalkan kenangan terindah.

1. Pelajari sebanyak mungkin berkaitan tempat yang akan dikunjungi terutama tarikan pelancongan dan tempat menarik yang ada di sana.

Ini bagi membolehkan anda menyusun perjalanan untuk ke tempat diingini.

2. Pastikan bagaimana keadaan cuaca di tempat akan dikunjungi. Ini memudahkan anda merancang sesuatu yang bersesuaian dengan cuaca terutama berkaitan pakaian dan ubat-ubatan perlu disediakan.

3. Selain cuaca, ada baiknya anda mengambil tahu mengenai keadaan politik terkini tempat dituju. Jangan sampai anda terperangkap apabila ada rusuhan berlaku.

4. Pastikan tarikh luput pasport anda masih panjang dan bukannya tinggal enam bulan. Beberapa negara termasuk Malaysia tidak mengizinkan rakyatnya keluar atau memasuki mana-mana negara jika tempoh pasport hanya tinggal enam bulan.
Justeru, sebelum merancang untuk bercuti, lihat dulu tarikh luput pasport.

5. Selain pasport, ada juga perlu mengetahui sama ada negara yang akan dikunjungi itu memerlukan visa atau tidak.

6. Pastikan apa juga dokumen yang diperlukan sepanjang percutian sudah tersedia dan lengkap.

7. Ini sesuatu yang penting iaitu mengetahui jenis plak yang digunakan di negara dikunjungi. Ini kerana, sesetengah negara tidak menggunakan plak yang sama. Justeru, mencari maklumat mengenainya, anda boleh membawa plak penyambung antarabangsa bagi memudahkan percutian anda.

8. Jika anda merancang untuk melakukan percutian seorang diri, carilah maklumat mengenai kos pengangkutan awam di kawasan sekitar. Dengan begitu, anda dapat merangka perbelanjaan dengan baik. jangan lupa juga untuk mengetahui kos sewa van atau teksi secara pajak.

9. Sentiasa peka dengan nilai mata wang negara yang akan dikunjungi. Ia penting untuk merancang segala perbelanjaan diperlukan ketika bercuti nanti.

10. Ada baiknya anda tahu hari cuti nasional sepanjang percutian selama percutian anda. Ini kerana, pada kebiasaannya urus niaga seperti di bank atau mana-mana jabatan ditutup pada hari terbabit.

Dengan itu, anda boleh bersedia dengan semua perkara sebelum ke tempat itu dan bercuti dengan aman serta selesa.

Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 07.11.2013 bersamaan 3 Muharam 1435H


No comments:

Post a Comment