Saturday, December 20, 2014

Melakukan Ibadat Malam Perlu Kekuatan




Bismillahirrahmanirrahim..

Perkongsian artikel ini adalah dari ruangan Agama akhbar tersohor tanahair iaitu Berita Harian. Jom sama-sama kita tambah ilmu untuk meningkatkan amalan melakukan ibadat sunat secara istiqamah di malam hari..
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang dan ibadah malam itu lebih kuat kesannya kepada jiwa dan lebih betul bacaannya.” (Surah al-Muzammil, ayat 6)

Solat malam banyak fadilat dan keistimewaan kepada individu yang melaksanakannya dengan khusyuk serta tawaduk. Namun, qiamullail sukar untuk dijadikan amalan kerana ia memerlukan semangat serta kesungguhan. 

Bagaimanapun, sebagai hamba Allah SWT, kita sewajarnya jadikan solat malam sebagai amalan kerana ia kebiasaan orang soleh. Mereka adalah yang selalu memanfaatkan malam dengan beribadah kepada Allah SWT.

" Sebagai hamba Allah SWT, kita sewajarnya jadikan solat malam sebagai amalan kerana ia kebiasaan orang soleh. Mereka adalah yang selalu memanfaatkan malam dengan beribadah kepada Allah SWT."

Seandainya kita dapat melihat keistimewaan solat malam itu sendiri, sudah tentu ia menjadi amalan kerana salah satu manfaatnya dapat membersihkan dan mencerahkan jiwa. 

Syaitan Ikat Tengkuk

Sabda Rasulullah SAW: “Syaitan mengikat tengkuk setiap daripada kamu apabila tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk setiap ikatan sambil berkata: Engkau masih punya malam yang panjang, maka tidurlah.

Jika dia bangun lalu ingat kepada Allah, terlerailah satu ikatan. Apabila dia berwuduk, terlerailah satu lagi ikatan. Apabila dia mengerjakan solat, terlerailah semua ikatan. Pada pagi harinya, dia bersemangat dan berasa gembira. Tetapi apabila dia tidak bangun, hatinya berasa susah dan dia menjadi pemalas.”

Sebenarnya, menunaikan solat malam memerlukan kepada kekuatan dan kemahuan untuk melaksanakannya. Pelaksanaan yang rela akan melahirkan solat khusyuk dan sempurna di sisi Allah SWT.

Khusyuk mengerjakannya dapat mengubah kehidupan kita daripada berteraskan maksiat kepada kehidupan yang berpaksikan ketaatan kepada Yang Maha Agung. Dalam pada itu, orang yang sering mengerjakan qiamullail sentiasa taat kepada Allah SWT selain dapat melatih diri ikhlas.

Qiamullail dilaksanakan pada masa kebanyakan manusia sedang nyenyak tidur dan keheningan dua pertiga malam itu dapat memberi ketenangan jiwa, berasakan keinsafan dan kekerdilan diri sebagai hamba yang lemah.

Pengabdian diri kepada Allah SWT mesti dilakukan supaya kita dapat mendekatkan diri kepada-Nya. Allah SWT menyintai hambanya yang selalu bangun malam untuk beribadah kepadanya selain dapat meninggikan darjat kita disisi-Nya.

Seboleh-bolehnya, jadikanlah qiamullail sebagai amalan mingguan atau bulanan yang wajib kita lakukan untuk melatih diri menjadi hamba yang bersabar. Marilah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT semoga kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya. 

Kredit to Berita Harian keluaran 31 Mei 2014. Semoga bermanfaat untuk pengunjung blog saya ini..

Wasalam untuk hari ini..

Friday, December 19, 2014

Merancang Wang 2015

Bismillahirrahmanirrahim..



Tidak sampai dua minggu saja lagi, kita akan melambai selamat tinggal kepada 2014 dan menjemput tahun baru 2015. Ada yang berjaya mencapai matlamat kewangan mereka tahun ini, ada juga yang tidak. Kini pula ada ura-ura pelbagai kos sara hidup akan terus meningkat tahun depan kerana GST, namun pendapatan pula mungkin masih di takuk lama. Perancangan kewangan kini semakin penting dalam keadaan ini.

1.Keinginan

Dalam mencapai kejayaan kewangan, keinginan amat penting. Keinginan dalam memperbaiki keadaan kewangan semasa tidak kira apa jua keadaan kita kini. Dengan adanya keinginan, ia seumpama memberi semangat dan motivasi kepada kita dalam memperbaiki keadaan kewangan.

Seseorang itu dikatakan tidak berjaya mencapai matlamat kewangan kerana takut pada kegagalan dalam kewangan. Akibatnya, tidak mahu mengambil langkah awal dalam perancangan. Keinginan yang kuat dalam kejayaan kewangan akan membantu anda dalam mengambil langkah awal itu.

2.Keyakinan

Dalam usaha mencapai apa saja kejayaan, keyakinan dalam diri sendiri amat penting. Sekiranya kita sering ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri dalam merancang dan berusaha, ia seumpama meletakkan diri kita pada kedudukan kekurangan dan menyukarkan setiap langkah merancang yang kita lakukan.

Dalam menetapkan matlamat kewangan anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik akan membantu dan memotivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan pendapatan dua kali ganda dalam masa setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk meningkatkan pendapatan anda sebanyak 10 hinggga 20 peratus dalam masa setahun adalah lebih realistik!

3. Tahu di mana anda kini

Sebelum merancang untuk 2015, ketahui kedudukan kewangan anda kini kerana ini titik permulaan anda untuk merancang kewangan anda. Adakah keadaan kewangan anda kini stabil? Kurang memuaskan? Atau bermasalah?

Dengan jujur pada diri sendiri mengenai keadaan kewangan kini, ia dapat memberi kesedaran kepada anda untuk memperbaiki keadaan semasa. Senaraikan segala baki simpanan, hutang kad kredit, hutang bayaran balik kereta dan rumah serta segala perbelanjaan bulanan yang dilakukan sebelum ini.

4. Mula merancang

Mungkin 2014 anda kurang melakukan perancangan yang mengakibatkan tersasar matlamat kewangan anda. Atau anda kini sedar ada ruang yang boleh diperbaiki sekiranya anda lebih berusaha memperbaiki kewangan. Apapun, yang lepas dijadikan pengajaran untuk tahun baru pula.

Lakukan anggaran wang masuk melalui pendapatan sepanjang tahun dan senaraikan juga setiap perbelanjaan tetap seperti rumah dan kereta serta anggaran bil telefon, Internet, elektrik dan televisyen berdasarkan 2014.

Sediakan bajet untuk perbelanjaan yang tidak tetap seperti pakaian, makanan, minuman, hiburan dan percutian. Sering kali dalam merancang untuk bayaran tetap tidak mempunyai masalah kerana jumlahnya dapat dianggar dengan lebih tetap. Yang sering menjadi masalah apabila perbelanjaan berubah-ubah yang sering mengakibatkan bajet lari.

5. Ilmu tambahan

Dalam memperbaiki kewangan, hanya ada dua cara iaitu mengurangkan perbelanjaan dan menambah pendapatan. Sekiranya melalui perancangan dan bajet dapat mengurangkan perbelanjaan, mungkin tiba masanya untuk menambah pendapatan pula.

Untuk menambah pendapatan, tingkatkan ilmu dalam kepakaran dan bidang anda. Tidak kira sama ada makan gaji atau berniaga, kelebihan dari segi ilmu dan usaha pada diri sendiri akan dapat memberi pendapatan yang lebih. Sekiranya bukan rezeki di tempat kerja yang sama, mungkin di tempat kerja lain yang dapat menghargai ilmu dan usaha anda.

Apa kata jadikan 2015 sebagai tahun memulakan perniagaan bagi mereka yang masih menunda usaha ini. Zaman kini, ramai yang menjalankan perniagaan terutama secara sambilan melalui Internet. Tidak perlu ada kedai fizikal, menjalankan perniagaan dari rumah pada waktu lapang menjadi pilihan ramai.

Kesimpulannya, tanpa merancang, segala perancangan kewangan akan gagal. Lengkapkan diri dari pelbagai segi merangkumi motivasi, semangat hinggalah kepada ilmu pengetahuan dan aksi yang perlu dilaksanakan untuk berjaya dalam kewangan.

Salam Irfan Khairi,


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17308#sthash.xxXC6N8B.dpuf




Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014

Untuk dapat ebook percuma sila layari link di bawah:  
https://hartinidotcom.aztetic.my/buy/formularezeki