Saturday, June 28, 2014

Kesilapan Kerap Muslim Dalam Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...


Artikel ini saya dapat dari website Ustaz Zaharuddin bin Abd Rahman. Saya share artikel ini
semoga boleh jadi panduan kepada semua pengunjung blog saya.. Semoga kita mendapat redha Allah. Bukan Penghargaan manusia dalam setiap ibadah yang kita lakukan.  
Mari kita sama-sama baca, fahami dan hayati artikel yang hebat ini. 
 
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya. 

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari) 

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291) 

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278) 

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Thursday, June 19, 2014

Qadha' dan Fidyah Puasa

Bismillahirramanirrahim..

Perkongsian seterusnya mengenai Ramadan.. teruskan membaca.
  • Seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur atau tanpa uzur, wajib qadha' puasanya di luar bulan Ramadan
  • Seseorang yang melambatkan qadha' puasanya kerana uzur syarie' yang berterusan, seperti dia masih musafir atau sakitnya berterusan hingga ke Ramadan tahun berikutnya di mana tiada ruang lansung untuk mengqadha'kan puasa tersebut, hukumnya harus dia melewatkan qadha' dan tidak wajib membayar fidyah sekalipun ia telah melangkau beberapa Ramadan. Cuma wajib ke atasnya qadha' bilangan hari-hari puasa yang ia tinggalkan.
  • Sunat menyegerakan qadha' puasa bagi mereka yang meninggalkannya kerana uzur syarie' Bagi mereka yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie' maka: pendapat pertama: Wajib disegerakan dan tidak boleh bertangguh; pdapat kedua: boleh dilambatkan dan ini pandangan kuat di sisi ulama-ulama Mazhab asy-Syafie di Iraq. Pendapat pertama adalah pandangan sahih yang dipilih oleh Iman an-Nawawi.
  • Sunat menyegerakan qadha' puasa secara berturut-turut.
  • Qadha' puasa tidak boleh dilakukan pada hari-hari bulan Ramadan, Hari Raya Puasa, Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyriq.                                                                                                                                                                                              (Panduan Puasa Ramadhan, JAKIM 2009)

Thursday, June 12, 2014

Fadhilat dan Kelebihan Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..

Terdapat hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang fadhilat dan kelebihan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.
 
Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.
 
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.
 
1. Pintu Langit Dibuka
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
2. Pintu-pintu Syurga Dibuka
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Perkongisian email dari ASSOHWAH MEDIA 

Wednesday, June 11, 2014

KEWAJIPAN BERPUASA

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya nak teruskan  perkongsian email saya dari ASSOHWAH MEDIA
 
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

“Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu..”
 
Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.
Wallahu'alam 

Tuesday, June 10, 2014

KELEBIHAN BERPUASA:

Bismillahirrahmanirrahim..
Artikel ini saya dapat dari email ASSOHWAH MEDIA.. Syukur boleh refresh semula kelebihan berpuasa untuk sambut Ramadan pada tahun ini.. Terima kasih personally kepada pengirim Encik Aiman bin Abd Rahman.. saya share artikel ini untuk sebahagian dari dakwah saya.. baiklah kita mulakan perkongsian ini..

Mulianya seseorang tidak dilihat dari penampilan luarannya, melainkan dari hatinya. ‘‘Sesungguhnya, Allah tidak melihat rupa dan harta-harta kamu, tetapi melihat hati dan perbuatanmu.” (HR Muslim).
 
Dalam menjalani kehidupan setiap hari tanpa sedar kita sudah semakin menghampiri Ramadhan. Bersempena dengan Ramadhan kali ini, marilah kita ambil peluang untuk membersihkan hati kita.
Bagaimana caranya? Berikut merupakan antara keistimewaan bulan Ramadhan.
 
1. Ganjaran istimewa daripada Allah SWT
Allah Ta'ala berfirman ertinya: "Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untuk-Ku."
 
2. Puasa menundukkan nafsu
Daripada Abdullah R.A katanya:
Rasulullah S.A.W bersabda: "Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi."
 
3. Puasa menghindari api neraka
Daripada Abu Said al-khudri R.A katanya,
Rasulullah S.A.w bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan 70 tahun lamanya."
 
KELEBIHAN BERPUASA DARI PERSPEKTIF KESIHATAN:
 
1. Menjaga kesihatan jantung
Mengurangkan pengambilan kolestrol sekaligusmengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung.
 
2. Mengurangkan risiko penyakit kencing manis
Mengurangkan pengambilan gula sekaligus mengurangkan risiko penyakit kencing manis.
 
3. Kesihatan mental
Adab-adab dan larangan yang perlu dipatuhi menjadikan kita lebih bersabar
dan mengurangkan tekanan.
 
4. Mengurangkan berat badan
Dengan berpuasa dapat mengurangkan berat badan sekiranya mengamalkan sikap sederhana dalam menyediakan makanan.
 
KELEBIHAN BERPUASA DARI PERSPEKTIF ROHANI:
 
1. Menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah melimpahkan banyak nikmat.
 
2. Melatih diri mempunyai sifat kasih dan belas terhadap golongan yang susah.
 
3. Melatih diri untuk bersifat sabar dalam menghadapi cabaran kehidupan harian.
 
4. Membersihkan hati daripada sifat tamak, dengki dan sombong.
 
5. Menanamkan sifat sama rata yang tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin, raja yang tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin, raja dengan rakyat kerana masing-masing menjunjung perintah llah SWT.
 
6. Melatih diri untuk lebih berdisplin kerana terdapat peraturan-peraturan istimewa ketika melaksanakan 
puasa.
Wallahu'alam..