Thursday, November 14, 2013

Tip Melancong: Rancang Percutian Lebih Awal

Bismillahirrahmanirrahim..

Musim cuti sekolah sudah tiba lagi. Anda tidak ke mana-mana?

Mungkin ada yang mahu membawa anak pulang ­ke kampung halaman berjumpa nenek dan datuknya. Mungkin ada yang hanya memerap di rumah.

Mungkin juga ada yang memenuhkan cuti sekolah ini dengan menghantar anak mereka menjalani kursus motivasi atau perkhemahan.

Mungkin ada tidak mempunyai perancangan langsung, manakala sebahagian yang lain barangkali mencongak mahu membawa anak bercuti.

Walau apa pun pilihan anda, terpulang kepada cita rasa dan bajet masing-masing. 

Tidak bermakna cuti panjang anak anda di persiakan begitu saja seandai­nya diisikan dengan banyak aktiviti lain yang berfaedah walaupun anda berada di rumah.

Namun, kepada yang ingin membawa anak melancong, sama ada dalam atau luar negara, ada beberapa tip yang boleh dikongsi bersama.

Pertama, rancang percutian anda terlebih dulu. Sebaiknya sebelum pergi bercuti, rancang dulu percutian, walau pun kita hanya mempunyai masa seminggu untuk merancangnya. Ke mana kita mahu bercuti? Cuti bagaimana yang kita mahu? Apa konsepnya, untuk riadah atau berbentuk ringkas.

Kedua, sediakan bajet. Jika kita melancong menggunakan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya 90 peratus daripada perbelanjaan melancong kita sudah dibayar terlebih dulu.

Jika kita melancong secara ala carte, sediakan perangkaan dan jangkaan jumlah wang yang kita perlukan bagi menampung semua kos penginapan, perjalanan, makanan, kos lawatan dan membeli-belah.

Ketiga, fahamkan anak terhadap nilai wang. Ini juga amat perlu untuk kita tekankan terutama kepada anak yang sedang membesar.

Terangkan kepada mereka kita bercuti di dalam bajet terhad. Pemberitahuan awal, mereka dapat memahami dan tidak meminta dibelikan sesuatu di luar dugaan kita sewaktu bercuti.

Ini juga dapat mengelakkan rasa hampa daripada bertapak di dalam pemikiran anak kita itu. Kita tentunya tidak mahu anak kita bermasam muka, meskipun baru balik dari bercuti di luar negara.

Keempat, rancang aktiviti membeli-belah. Kawal perasaan. Sediakan senarai pendek apa yang mahu kita cari setibanya di destinasi.

Kelima, rancang pembelian cenderahati. Yang ini juga perlu kita titik beratkan sama. Bagi sahabat, rasanya sekadar ingatan kita sudah mencukupi.

Jadi, harga barangan yang kita beli sebagai cenderamata tidaklah penting kepada mereka. Oleh itu, beli yang berharga ideal.

Keenam, gunakan kad kredit dengan bijaksana. Ini adalah satu kelemahan kita yang cukup ketara. Oleh kerana kita tidak perlu mengeluarkan wang tunai ketika berbelanja, kita mungkin akan terjebak kepada sindrom berduka selepas bersuka.

Ketujuh, pastikan anda ada lebihan tunai sekembalinya dari bercuti. Elakkan senario pulang dari bercuti, kantung kosong.

Kelapan, gunakan khidmat agensi pelancongan. Ini adalah satu pilihan terbaik untuk kita menjimatkan belanja. Meskipun melancong dengan menggunakan khidmat agensi pelancongan ini kita tertakluk kepada jadual yang tersedia, tetapi ini adalah lebih baik daripada melancong secara ala carte untuk mengunjungi tempat yang tidak pernah kita sampai sebelum ini.

Kesembilan, buat bedah siasat untuk percutian anda. Perkara ini juga adalah penting sebenarnya. Sekiranya untuk percutian kali ini anda tidak sempat untuk merancang seperti di atas, anda boleh saja menggunakannya di percutian anda yang akan datang. Selamat bercuti.

Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 14/11/2013 bersamaan 10 Muharam 1435H

No comments:

Post a Comment